Keluhuran Ramadhan, Kemenangan Aidilfitri


Alhamdulillah...Kesyukuran ini termeterai penuh keinsafan di hati. Walau syahdu mengiringi keberangkatan Ramadhan, namun terpancar satu kepuasan bagiku....tak terungkap dgn kata-kata, hanya hatiku dapat mengerti perasaan ini.


Teringat lewat sebulan yang lalu, bicaraku bersama dua orang puteri solehahku...


"Hari Rabu nanti kita mula puasa, tau...", ujarku buat anak-anak.


"Tauuuuu....", jawab mereka serentak ala-ala riak.


"Tahun lepas Salma dan Ili puasa penuh... bangganya Ummi. Tahun ni macamana? Nak puasa penuh penuh tak?" Tanyaku minta kepastian sambil mengharap.


"Eh, mestilah... Kalau tak puasa, mana boleh raya...", Ili menjawab penuh keyakinan (lupa la tu nak cakap insyaAllah... ish).


Yakin dengan jawapan mereka, Ramadhan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang syarat atau janji. Tidak dinafikan sesetengah ibu bapa mendidik anak-anak kecil berpuasa dengan berbagai cara. Ada yang menjanjikan duit raya untuk setiap hari berpuasa dan baju raya yang beraneka, ada juga yang memulai dengan separuh hari berpuasa, tidak kurang juga yang menyajikan pelbagai juadah berbuka puasa mengikut selera anak-anak. Apapun cara yang mereka lakukan, pastinya sebagai pendorong buat anak-anak menjalani kewajipan rukun Islam. Cuma, dorongan dan didikan itu wajar mengambil kira konsep ibadah sebagaimana tuntutan syariat Islam.


Seperti tahun lalu, rutin puasa bagi anak-anakku berpaksikan kesederhanaan. Sahur yang ringkas dan berbuka puasa dengan juadah yang sekadarnya tapi berkhasiat, mengenyangkan. Di samping itu, amalan berpuasa separuh hari tidak ku ajar buat mereka walaupun ia bertujuan mendidik. Bagiku, amalan berpuasa penuh sepanjang hari lebih baik untuk mereka supaya berpengalaman mengharungi cabaran puasa. Lainlah kalau kesihatan tidak mengizinkan atau seumpamanya, barulah segalanya dipertimbangkan mengikut syariat. Dan Alhamdulillah, sepanjang Ramadhan ini ibadah anak-anakku berjalan lancar. Lebih membanggakan apabila mereka langsung tidak cerewet sepanjang bersahur, berpuasa mahupun berbuka. Malah, soal baju raya dan seumpamanya pun tidak disibuk-sibukkan.


Kini, genap hari yang ke-30 ibadah puasa. Bererti, esok Aidilfitri bakal menjelma. Sebagai ibu bapa, bukan sengaja melupakan persiapan hari lebaran, cuma mendidik anak-anak agar tidak mengutamakan apa yang lebih utama. Walau puasa dan raya kedua-duanya ibadah yang perlu dijalani dan diraikan, namun pengertian dan amalan sebenar perlu diterapkan dari awal. Biarlah ibadah disempurnakan sedaya yang mungkin, barulah bererti kemenangan di Aidilfitri.


Namun tidak dinafikan juga persiapan lebaran kali ini benar-benar di saat akhir. Sepatutnya minggu ini segalanya sudah dibereskan. Bukan disengajakan, tapi kesihatanku kali ini tidak mengizinkanku untuk keluar membeli-belah. Suamiku pernah ke gedung pakaian bersama anak-anak, tapi pulang dengan tangan kosong. Alasannya, tak tahu nak beli apa. Bagiku, bukan dia tak tahu, tapi kerana sudah terbiasa 'shopping' bersama.


Sebentar lagi kami sekeluarga ingin ke pasaraya. Sudah disenaraikan barangan yang perlu dibeli. Baju raya, kuih-muih dan barangan keperluan dapur. Sebagai pengurus kewangan keluarga, aku bukan seorang yang kedekut, terlampau berkira atau seumpamanya, tetapi memastikan perbelanjaan mengikut keperluan, bukan kemampuan atau kemewahan. Walaupun kami bukan orang kaya, tapi kalau belanja mengikut nafsu, rasanya barangan yang mahal, berjenama dan beraneka jenis masih mampu kami beli. Cuma, sentiasa beringat... belanja berhemah mampu mengelakkan pembaziran.


Gembira rasanya menyabut lebaran, esok. Gembira kerana berjaya mendidik anak-anak berpuasa. Semoga ia menjadi salah satu ibadah buatku untuk diterima oleh Allah menjadi saham Akhirat. Salam Aidilfitri buat anda semua yang bergelar muslimin dan muslimat. Sambutlah dengan kegembiraan. Kegembiraan di atas kemenangan. Kemenangan apa yang anda capai kali ini? Muhasabah, dan kongsikanlah....