Antara Mega Sale Dan Tawaran Hebat Daripada Allah

بِسْمِ الله الرحمنِ الرحِيم
ليلة القدر خير من الف شهر
"Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan"

Salam sejahtera buat pembaca..
Dalam hiruk-pikuk dan kesesakan umat manusia membuat persiapan lebaran, kadang terfikir dunia ini begitu indah dan banyak urusannya. Ada urusan penting, ada urusan remeh, ada yang bermanfaat dan tidak kurang juga yang sia-sia. Yang terlintas di fikiran, agaknyalah...hanya kepuasan hati dan nafsu semata. Dan agaknyalah, itulah keindahan dunia yang sentiasa dicari manusia di dunia ini.
Ramadhan telah melewati 2/3 jelajahnya untuk musim ini. Antara hiba dan insaf, hitungan baki Ramadhan terasa terlalu pantas. Berbaloikah 'layanan' yang kuberi untuk kehadiran Ramadhan yang bertamu kali ini. Atau berangkatnya Ramadhan bersama kutukan buat diri ini.
Antara sedar dan tidak, lebaran menghampiri kita. Dengan kesibukan pelbagai persiapan, pasti ada yang kian melupakan pentingnya sepuluh hari terakhir bertandangnya Ramadhan. apatah lagi tawaran 'Mega Sale' bergantungan di sana-sini, menambahkan lagi kekaburan mata hati dan iman. Terlupakah wahai saudara-saudaraku, Allah juga menyediakan tawaran yang berganda lebih lumayan dari itu? Antara malam Lailatulqadar dan 'Mega Sale', mana yang lebih hebat? Tidak salah membeli -belah untuk keperluan lebaran, apatah lagi itulah hari kegembiraan untuk umat yang telah mengharungi madrasah al-Kareem. Tetapi nampaknya agak tidak adil kerana kaki-kaki yang melangkah ke masjid dan surau makin lesu dan lengang berbanding suasana di pusat-pusat membeli-belah.
Alangkah, andai pahala boleh dilihat dengan pancaindera...pasti umat akhir zaman ini sedar kekurangan yang mahu dibawa ke Akhirat nanti. Dunia yang disibukkan dengan pelbagai urusan, keseronokan serta ganjaran itu, belum tentu semua hasilnya layak dibawa bersama ke Sana. Fikir, fikir, dan jangan henti berfikir kerana akal yang berfikir insyaAllah membuka mata hati yang tertutup oleh nafsu.