Salam rintis ukhuwwah buat semua pembaca...
Hampir dua bulan rasanya saya tidak mengemaskini laman blog ini. Pelbagai cerita ingin dikongsi bersama, namun komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab untuk keluarga menjadi kekangan, lantas menangguhkan segala yang ingin dikongsi.
Hari ini dan pada waktu ini, saya bersama rakan-rakan setugas sedang bersengkang mata bergilir-gilir menjaga para peserta program Bacathon yang julung kali diadakan di sekolah ini. Dengan hasrat yang begitu tinggi untuk memecah rekod 'The Malaysia Book of Records', segala cabaran diharungi bersama dalam memastikan kejayaan program ini sejak sebulan yang lalu. Sesuatu yang turut menjadi kebanggaan pihak sekolah adalah kerjasama erat yang telah dibuktikan oleh para guru, murid, ibu bapa serta PIBG.
Lebih menguatkan semangat dan menghangatkan perasaan berkobar-kobar apabila kami dimaklumkan bahawa kamilah perintis cabaran 'longest readathon' di peringkat kebangsaan bagi kategori sekolah rendah. Berkebetulan itu juga, bulan ini yang menjadi Bulan Membaca 2010 amat bersesuaian kepada pihak sekolah dalam menganjurkan bacaan tanpa henti selama 9 hari ini.
Sambil menanti bacaan demi bacaan daripada para peserta pagi ini, saya mengambil peluang untuk meneroka laman sesawang mencari berita-berita yang telah dijadikan liputan sebelum bermulanya Bacathon ini. Antara akhbar utama yang membuat liputan adalah Utusan Malaysia, Kosmo, Metro dan seumpamanya.
'Everything is hard before it becomes easy'. Semoga segalanya berjalan lancar. Masih berbaki 150 jam untuk ditempuhi. Dengan semangat dan disiplin yang ditunjukkan oleh para peserta dan guru-guru yang memantau, kegemilangan yang diimpikan pasti tercapai, insyaAllah.
0 ulasan:
Catat Ulasan