Salam ukhuwwah, moga sejuta kedamaian dan kerahmatan adalah milik kita semua saat ini. Bersyukurlah.
Begitu lama papan kekunci ini tidak mencantum kalimah. Mungkin kerana kesibukan, atau juga keletihan, dan mungkin dek ketandusan cetusan idea. Malam ini, dalam menanti suami tercinta pulang ke syurga rumahtangga, terasa ringan jemari ini menekan deretan huruf mencantum kalimah demi kalimah. Belum tentu temanya, tetapi ada sesuatu yang ingin ku luahkan....
Beberapa jam yang lalu, seperti biasa ku akan online ke pelbagai sesawang mengikut keperluan. Facebook adalah rutin harian, kecuali andai kesibukan menghimpit. Sejak menyertai FB, ramai sahabat lama yang terputus hubungan dapat ku jejaki kembali. Bukan itu sahaja, pelbagai info dapat dikutip dan diperkembangkan. Apatah lagi kewajipan berdakwah yang terbentang luas di ruang ini. Dalam erti kata lain, FB amat berguna andai ia digunakan ke jalan yang betul.
Dalam asyik melayan cerita para sahabat FB, terpampang di sebelah kanan halaman nama seseorang yang masih ku ingati. Halaman rakan yang dicadangkan oleh FB itu ku klik, lantas terbentang sekelumit info tentang dirinya. Ya, memang dia ku pernah kenali, lalu ku 'tambah sebagai rakan'. Tak kisah kalau dia enggan menerima jemputanku. tidak lupa, isterinya juga ku tambah dalam senarai. Sebagai rakan, ku tak pernah memutuskan persahabatan yang terbina walaupun cerita duka pernah meniti hidup kami.
Jauh di sudut hati, aku gembira melihat kebahagiaannya. Malah itulah yang ku harapkan bila hubungan istimewa tak mampu kita panjangkan sebagaimana yang dirancang. Memang perpisahan menjadi titik duka dalam pelayaran kehidupan kita, tetapi harus kita sedari bahawa itu sebenarnya permulaan bahagia yang tak mampu kita duga untuk dikecapi hari ini.
Terima kasih, ya Allah...ketentuanMu mengatasi segalanya, terbaik buat seluruh hambaMu. Benarlah, kita merancang, Allah juga merancang. tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik.
Kesal dengan keterlanjuran lalu dalam mencari hubungan sejati, ku percaya keinsafan ini telah disusuri dengan rahmat Ilahi apabila hadirnya insan yang mengatur langkah ku meniti laluan hidayah, mendorongku mencintai jalan para solehah. Alhamdulillah...keinsafan mendekatkan kesempurnaan walau ia masih jauh.
Terima kasih, kenangan, terima kasih semalam yang menginsafkan, terima kasih Tuhan yang merahmatkan...
0 ulasan:
Catat Ulasan