Amanah Ilahi



Anugerah Ilahi buat kami....

Amanah yang amat besar untuk disempurnakan.


Salma Rifda, 6, Ili Izyan, 5 dan Muhammad Khaleef, 1, semuanya berbinkan Mohd Hakkam adalah anak-anak yang selamat aku lahirkan dengan cara caesarian....bedah. Sudah ditakdirkan tidak mampu melahirkan dengan cara normal, aku redha di atas kehendakNya. Tiada lain yang ku harapkan, hanya ingin melihat semua cahayamata kami ini sihat cergas dan membesar dengan sempurna.

Alhamdulillah, hari demi hari antara sedar dan tidak mereka semakin membesar bersama pelbagai kepintaran, kecenderungan, kematangan dan tidak kurang juga karenah. Kata orang, memang perangai kanak-kanak, macam-macam ada.

Salma, anak kami yang sulung, bakal masuk ke Tahun 1 pada tahun hadapan. Sejak berusia 4 tahun lagi kami sudah mula menghantarnya ke tadika. Pada mulanya dia memasuki Tadika Pasti Al-Hidayah, Kemudian prasekolah SK Taman SEA. Tidak cukup dengan itu, kami turut daftarkannya ke Kelas Kumon untuk menguasai Matematik. Tapi sampai hari ini kami tak tahu kecenderungannya. ketika peperiksaan akhir tahun prasekolah, dia hanya berjaya mendapat markah 100 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains dan Matematik, manakala English 80 dan Agama 96. Soalannya cukup mudah, tapi komen gurunya, "Salma ni suka berangan dan careless". Memang itulah sikapnya yang kami sedia maklum dan tak tahu macamana untuk menanganinya.

Anak kedua kami pula yang lebih senang dipanggil Ili, memang suka berceloteh dan agak petah berbanding kakaknya. Tanya apa sahaja, pasti ada jawapannya walaupun adakalanya jawapan itu menyimpang dari maksud soalan. Bersekolah sama seperti 'Kaklong', pencapaiannya agak memuaskan setaraf dengan umurnya. Namun begitu, Ili ada banyak alasan apabila rasa malas menguasai dirinya. Silap haribulan, jeritannya membingitkan lubang telinga.

Khaleef, putera kecil berlagak wira ini memang belum mengerti apa-apa selain dari dunianya sendiri. Setiap hari urusannya adalah mengetuk, memanjat, membuka semua laci, kemudian minta susu. Bila dia rasa seronok, pasti lagu jepun tema kepada cerita Ganso Tensai Bakabon itu yang jadi siulannya. Kami pun tak tahu kenapa dalam banyak-banyak lagu kanak-kanak, lagu jepun itu yang digemarinya. hanya dia yang ada jawapannya.

Anak ke-4? Kami belum bercadang untuk waktu yang terdekat ini. Biarlah waktu dan izin Allah yang menentukannya. Fikirku, sekarang adalah permulaan kepada pelbagai cabaran dalam menyempurnakan amanah Allah ini. Bukan senang untuk mendidik anak-anak mengikut acuan yang telah digariskan syariat. Dengan keadaan persekitaran sekarang, komitmen kami sebagai ibu bapa berkerjaya, pengaruh media dan bermacam-macam lagi, kami mohon agar diberi kekuatan oleh Ilahi untuk mencorakkan anak-anak ini menjadi generasi cemerlang dunia dan akhirat. Dengan pengetahuan dan kemampuan yang terhad ini, doa kami agar mampu mendidik anak-anak ini mencintai Allah, mentaati ajaran Islam dan menghormati kedua ibubapa mereka.

Aduhai anak...

Andai mereka mengerti apa yang tersirat di hati orang tua mereka.....

0 ulasan:

Catat Ulasan