Salam ukhuwwah buat semua,
Pembaca yang dihormati,
Adakah anda tergolong di kalangan yang mempunyai masalah berat badan (kegemukan)? Kalau itu masalah anda, apakah pendekatan yang anda ambil? Resah tapi berdiam diri? Mencuba pelbagai produk di pasaran? Berulang-alik ke gimnasium? Atau mungkinkah anda pelanggan mana-mana 'slimming centre'?
Oleh kerana turut merasai dan memahami perasaan orang yang terlebih berat badan, kali ini saya rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman tentang cara-cara untuk mengurangkan berat badan. Petua ini hasil dari pengalaman saya sendiri yang ternyata membuahkan hasil. Walaupun memakan masa yang agak lama kerana kesannya tidak secara mendadak, tetapi berat badan dapat dikurangkan dan di'maintain'kan daripada kembali meningkat.
Semenjak memasuki menara gading, dalam mencari identiti dan penampilan diri, saya sentiasa risau akan berat badan yang tidak seimbang bagi saya yang berketinggian lebih kurang 155cm sahaja. Sebagai inisiatif, saya cuba amalkan diet tersendiri dengan berlapar dan juga berpuasa. Namun hasilnya tiada melainkan angin berkeriut dalam badan dan lemah segala sendi. Seksanya... lantas saya tidak hiraukan soal langsing yang saya idamkan.
Menjelang perkahwinan, masalah ini kembali menghantui fikiran, lalu bertungkus-lumuslah saya dengan pelbagai petua dari kawan-kawan dan bahan bacaan. Pun lebih kurang sama juga hasilnya, cuma dapatlah menyarung gaun pengantin yang ada 'cutting' sedikit.
Alangkah bahagia dunia rumahtangga, sedar tak sedar badan dah montel. Ditambah pula dengan selera orang mengandung, apa sahaja terhidang depan mata semuanya licin.
Sekarang saya sudah selamat melahirkan 3 cahayamata. Oleh kerana saya bermasalah dalam melahirkan anak secara normal, jadi saya agak bergantung kepada perangcang keluarga untuk menjarakkan kehamilan. Sejak mengambil perancang tersebut pada 2004, berat saya susah untuk diuruskan walaupun sekadar untuk 'maintain' pada tahap itu. Dalam masa yang sama, timbangan cukup senang meningkat walaupun pengambilan makanan pada kadar yang biasa sahaja.
Selepas melahirkan anak yang ketiga pada April 2008, ukuran berat saya mencecah 74kg. Pakaian, tak payah cerita.... boleh bukak kedai bundle. Nasib baik pakaian kerja saya adalah jubah, jadi muatlah bagaikan karung nangka. Tapi kat rumah, depan suami, takkan nak memperagakan jubah juga.
Ditakdir pada suatu hari saya berbual-bual biasa dengan seorang wanita 'anggun' yang tak dikenali. Dalam asyik berbual, tersentuhlah isu lebihan lemak badan. Saya tersipu malu, tapi berkobar-kobar dalam hati ini untuk mengetahui rahsia keanggunannya. Walaupun saya tak bisa sama sepertinya, tapi cukuplah sekadar mendapat sekelumit rahsianya. Alhamdulillah, dia tak banyak berahsia dan terus berkongsi amalan hariannya dengan saya.
Bermula dari selepas pertemuan itulah saya mencuba beberapa petua itu, dan hasilnya memuaskan hati saya.
Nak tahu caranya? Cubalah kalau anda mahu...
Pertama sekali, untuk turunkan kadar gula dalam badan yang menjadi salah satu punca kegemukan adalah dengan memakan putih telur. Makanlah putih telur seberapa banyak yang anda mahu kerana ia tak memberi kesan kepada peningkatan berat. Cara memasaknya terpulang kepada anda, cuma jgn gunakan minyak (goreng) dan jangan makan bersama sos. Hanya telur putih semata-mata. Telur kuning? Boleh makan, tapi tidak lebih dari 2 biji sehari. Amalkan selama 7 hari. Macam petua 'gila-gila' aje kan? Terpulanglah... tapi saya dapat kurangkan 4.5kg setelah amalkan selama 4 hari (tak larat nak continue... tak biasa). Dan minumlah air masak kosong saja banyak-banyak.
Selepas 4 hari tersebut, oleh kerana teruja dengan penurunan itu, saya teruskan dengan petua selanjutnya iaitu memakan telur setiap pagi, sayur, daging, ayam atau makanan laut setiap tengahari, dan telur untuk makan malam (sebelum 8 malam). Cara masaknya mengikut kreativiti sendiri, asalkan tanpa minyak dan sos. 7 hari bersama menu ini. saya dapat kurangkan 3 kilo tanpa rasa lapar. Untuk keluarga, saya memasak seperti biasa dan dalam masa yang sama saya makan bersama mereka dengan menu saya sendiri. Apa kata suami? Teruskan... dia pun teringin nak tengok hasilnya.
Langkah saya yang ke-3 lebih kurang sama macam langkah sebelum ini, cuma banyakkan memakan buah-buahan. Nasi, mi dan seumpamanya yang tergolong sebagai makanan berat, belum boleh diambil untuk hidangan. Sabar, ye... Teruskanlah usaha ini selama 2 minggu.
Selepas langkah yang ketiga, bolehlah beransur-ansur mengambil makanan ruji kita, tapi berhentilah makan sebelum kenyang dan untuk waktu tengahari sahaja.
Bagi saya, setelah pelbagai pengalaman sejak remaja dalam menangani isu kegemukan ini, satu perkara penting yang semua orang tahu patut diamalkan iaitu makanan seimbang. Walaupun ketika langkah yang pertama ia tidak menggambarkan keseimbangan, namun itu cuma untuk menurunkan paras kandungan gula, seterusnya memudahkan proses pengurangan lelemak badan yang mungkin dah lama jadi 'kilang haram' dalam badan.
Bermula Januari 2009 hingga sekarang, berat saya dapat dikurangkan sebanyak 14kg hasil dari disiplin pemakanan. Tidak lupa 'exercise' rutin setiap Sabtu dan Ahad iaitu 'jogging' sekitar taman perumahan. Hari biasa, cukuplah kerja-kerja rumahtangga untuk keluarkan peluh. Kalau di sekolah, dapat kelas yang banyak kena panjat tangga, lagi suka.
Pesanan untuk anda, minumlah air masak kosong banyak-banyak, makan seimbang, jangan makan lepas jam 8 malam, berhenti makan sebelum kenyang dan lakukanlah senaman dengan apa cara sekalipun. Setakat ini, berat saya belum pernah naik, tak rasa lapar, terbiasa makan sikit-sikit aje dan hati pun senang serta berkeyakinan. Suami pun senyum dengan kegigihan ini. Anak-anak gembira, murid-murid pun tak mengejek di belakang. Pakaian tahun 1996 dulu pun muat kembali. Alhamdulillah, duit pun tak habis dengan pelbagai barang di pasaran ataupun rawatan pusat kecantikan.
Walaupun belum sampai tahap berat badan ideal, saya yakin usaha ini akan berjaya nanti, insyaAllah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
salam ziarah uhkti..
terasa nk mencuba diet ni. telur tu kalau rebus makan dengan kicap ok tak?atau makan putih telur saja.
Catat Ulasan