Terkenang Sahara Anbiya'







Terasa waktu berlalu begitu pantas. Masih segar di ruang ingatan, tatkala jejakku mula menapak di Lapangan Terbang Kaherah, Mesir pada malam 9 September 1997. Antara tangis rindu halaman dan cita-cita menggunung, berbaur perasaanku tak tentu haluannya. Wajah-wajah kakak-kakak senior yang menyambut kami cukup ceria makin membutuhkan fikiran. Entah kenapa, aku sebenarnya tidak menduga kakiku bakal menjejak ke bumi Anbiya. Hatiku belum benar-benar rela untuk melangkah sejauh itu dalam mendamba selaut ilmu segulung ijazah. Senyum menguntum di bibirku membalas keraian senior buatku, tapi hatiku layu merindui segalanya di Malaysia.



Suasana yang cukup asing ditambah pula terpaksa berkurung di dalam rumah selama seminggu membuatkan aku bagai orang gila. Bayangkan tanpa sebarang alat komunikasi untuk berhubung dengan keluarga, airmata tak henti-henti mengalir di pipi. "Makkkkkk...Ayahhhhh....anakmu ini selamat tiba di sini"....nak ucapkan ayat sebegitu ringkas pun tidak kesampaian...Ohhh, terseksanya.



Selesai tempoh berkurung, barulah senior membawa kami adik-adik freshie ke markas telefon luar negara. Menjerit ibuku dalam haru-biru perasaan apabila mendengar suara anak bongsunya ini. "Sampai hati tak telefon masa sampai hari tuuu....Mok dok leh tido, dok leh wat mende satu sa pun teringat ke Ani..." Itulah antara sesalan yang terungkap di telingaku. Maafkan aku, Mak. Mesir tak sama macam Malaysia.



Dan bermulalah pencarianku dalam permusafiran meneroka ilmu. Sebagai siswi yang terus masuk ke Tahun 3 pengajian, aku terawang-awangan dalam perkuliahan yang agak berbeza ini. Waktu berlalu pantas, sekejap sahaja diriku sudah melangkah ke dewan peperiksaan. Menjelang musim sejuk, keputusan peperiksaan yang ku terima adalah GAGAL. 7 matapelajaran harus ku ulangi di tahun hadapan. Pedih, perit, pahit, kecewa, kesal, dan aku menangisi ketidak sungguhanku. Pastinya hancur harapan orang tuaku.



Dalam kesedihan itu, aku mula bangun dari 'tidur'. Kesedihanku tak lama, kerana aku bukan berjiwa merintih. Sedar dengan kesilapan dan kekurangan, aku tekad menebus segalanya.



Sebenarnya ketika itu aku mahu lari dari suatu kongkongan. Aku sendiri kurang pasti adakah itu antara sebab kegagalanku kerana asyik melayan rindu, lantas aku tegar dengan keputusanku. Lalu ku hantar selembar coretan buat kekasihku di Malaysia, menyatakan hatiku tika itu hanya untuk menuntut ilmu. Aku tak mampu melayan lembar-lembar cinta bersama nota-nota kuliah yang berjilid-jilid. Tambahan pula, cinta kami tak pernah direstui keluargaku. Perasaan terbeban itu terbawa di fikiranku ke mana-mana. Lantas, maafkan aku....cukuplah sampai di sini.



1998 ku rentasi dengan ketekunan. Alhamdulillah segala kegagalan dapat ku tebus kembali. Hanya dengan airmata dapat kuterjemahkan kesyukuran pada Ilahi. Akhirnya aku berjaya melangkah ke tahun akhir pengajian.



Dalam pencarian ilmu ini, tidak terpinggir juga amal jama'i untuk dipraktikkan sebagai satu cabang sosialisasi di menara gading. Aku meminati seni, lebih-lebih lagi seni visual. Kerana sekelumit bakat yang ada, aku dipilih menyandang jawatan illustrator untuk maajalah SUTRA suara anak Terengganu di Mesir. Dipendekkan cerita, ketika itulah kisah cinta datang lagi dalam hidupku. Antara suka dan tidak, hari demi hari keakraban menitipkan harapan. Tanpa aku sedari keluarganya telah datang merisik ke rumah orang tuaku di kampung. Alangkah gembira orang tuaku, bakal bermenantukan seorang ustaz. Setelah memikirkan segala yang termampu ku fikir, aku menurut sahaja kemahuan orang tuaku. Februari 1999 aku ditunangkan dengan si dia. Hanya doa mampu ku iringkan agar keputusanku ini mendapat inayah Ilahi, tidak mengganggu dan mengongkong pengajianku. Alhamdulillah segalanya seiring dengan hasratku.



Ogos 2000, pengakhiran pengajianku belum berkesudahan. 2 kertas gagal ku hadapi dengan jayanya. Tasfiah, itulah keputusan yang kuterima untuk menduduki semula peperiksaan pada November tahun itu.



Sudah terbayang kampung halaman dan wajah-wajah yang kurindui. Juga menanti bakal keluarga keduaku. Tunangku turut bersedih, bukan kerana kegagalanku, tapi kerana aku bakal pulang ke Malaysia meninggalkannya terkial-kial dengan harapan dan kesetiaan cinta.Ahhh, persetankan itu semua. Mainan perasaan melemahkan jiwa. Mahu tak mahu, aku mulakan sesi mengulangkaji.



Selesai peperiksaan Tasfiah, tiket penerbangan ku tempah untuk pulang ke kampung halaman. Walaupun keputusan peperiksaan belum diketahui, ku berbekalkan tawakkal pada Tuhan. Ohhhhhhhh....seronoknya tak terkata. Pelbagai gambaran terpampang di mataku tentang Malaysia waktu itu. KLIA yang belum pernah ku jejak (dulu bertolak dari Subang Airport), keselesaan MAS (dulu datang naik Jordan Air), rupa abang iparku yang ke-3, wajah 2 orang anak saudaraku, reaksi bakal mentua dan bermacam lagi.



2 Disember 2000, aku terbang pulang ke tanahair. terbayang saat kapal terbang mula merentasi landasan, hatiku menjerit kepiluan. Aduh, sayunya hati....meninggalkan tunangku kesepian...mengalir jua airmata dari hati yang penuh sentimental. "Ler..sedihnya dia...nah makan kurma ni, hilang la sedih tu", ucap pramugara yang membawa hidangan berbuka puasa ketika itu.



Kini, segalanya terpahat utuh di ruang memori. Turut terpahat janji cinta setia yang punah akhirnya. Terima kasih cinta kerana menemaniku di permusafiran itu. Walau tidak kesampaian, ku tetap hargai kesudiannya menapak sementara di ruang hati. Kita merancang, Allah juga ada perancangan-Nya, dan sebaik-baik perancangan adalah dari Allah. Terima kasih wahai perpisahan, kerana perpisahan itulah membuatku mampu menyulam bahagia hari ini. Jika ditanya mengapa terpisah, usah ditanya padaku kerana aku jujur dan setia pada cinta ini, walau pernah melukai cinta pertama. Mungkin orang ke-3 tahu jawapannya.



Tika ini, tertanya-tanya, bilakah akan ku jejaki kembali saharamu, wahai Ardhul kinanah?

2 ulasan:

Amboi Za..terkenang kisah2 lama ye..nanti cik abang marah kan..

Blog Za ni ada kemajuan doh. Untuk membanyakkan pengunjung Za kena rajin buka blog lain, tinggalkan jejak pd shoutbox atau jd follower..dan buat entry yg best2..lama2 blog ni akan bkembang dgn sendiri..good luck!

 

Cik abg x kisah..cerita dia 2x5 jer ngan za. Thanx beri komen, insyaAllah kalu ade idea best blh mskkan pasni

 

Catat Ulasan